-
- Hock
Seng (kiri) dan Hon Wai menunjukkan surat yang dihantar kepada kerajaan
pusat berhubung isu LTABL sejak beberapa tahun lalu.
GEORGETOWN - Jangan terus mengelirukan rakyat dengan mengeluarkan
kenyataan yang tidak benar mengenai Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan
Lepas (LTABL).
Setiausaha Politik Ketua Menteri, Wong Hon Wai berkata, kenyataan
Setiausaha Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong yang menyalahkan kerajaan
negeri terhadap isu itu dilihat tidak benar kerana ia sudah beberapa
kali menulis surat kepada kerajaan pusat memohon peruntukan untuk
menaiktaraf lapangan terbang itu.
Beliau berkata, kerajaan negeri beberapa kali menulis surat kepada
menteri yang terlibat termasuk pada 20 Mei 2009 namun maklum balasnya
mendukacitakan.
“Ia ditulis sendiri Ketua Menteri, Lim Guan Eng kepada Menteri Kewangan
II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah yang memohon kerajaan
pusat memberi peruntukan RM500 juta untuk pembinaan terminal kargo
bersepadu,” katanya kepada media di sini semalam.
Menurutnya, satu lagi surat dihantar kepada Menteri Pengangkutan ketika
itu, Datuk Seri Ong Tee Keat memohon peruntukan RM850 juta untuk
membina landasan kapal terbang baru serta menaik taraf terminal kargo
udara bertaraf antarabangsa di LTABL.
“Surat bertarikh 18 Jun 2009 meminta terminal kargo udara bersepadu
yang menggabungkan dua terminal kargo sedia ada dan sistem keselamatan
terminal kargo yang dilengkapi dengan sistem rakaman kamera litar
tertutup (CCTV),” katanya.
Selain itu, kerajaan negeri meminta landasan sedia ada dipanjangkan
dari 3,500 kepada 4,000 meter serta membina sebuah landasan kapal
terbang untuk menampung kenaikan kekerapan penerbangan ke negeri ini.
“Kita juga minta dua mesin imbasan bagi mengesan kemasukan barangan kargo yang merbahaya,” katanya.
Beliau berkata, permohonan dibuat berulang kali sejak beberapa tahun
lalu dan bukan selepas timbul cadangan pembinaan lapangan terbang di
Kulim, Kedah.
Sementara itu, Exco Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air, Telekom),
Pengangkutan (Udara, Laut, Keretapi), Lim Hock Seng pernah menulis surat
kepada Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Kong Cho Ha untuk
memohon memperbesarkan LTABL berikutan kapasiti penumpang sudah mencapai
lima juta orang.
“Apabila kerajaan pusat menaik taraf LTABL dengan kos RM250 juta, saya
tulis surat kepada Cho Ha pada 14 Februari 2011 mengatakan projek itu
hanya mampu menampung 5 juta penumpang sedangkan jumlahnya sudah
mencapai 5.5 juta orang.
“Pada 23 Februari 2011, saya terima jawapannya bahawa tiada perancangan
pembesaran LTABL sebaik sahaja projek pembesaran sedia ada disiapkan
pada 2012. Dengan contoh surat yang diberikan, tuduhan Tong Keong sama
sekali tidak benar,” katanya.
Terdahulu, Tong Keong meminta kerajaan negeri mengemukakan perkembangan pelan tindakan (blueprint) berhubung pembesaran LTABL.
Tong Keong berkata, jika kerajaan negeri menyediakan pelan tindakan
itu, ia perlu dihebahkan kepada umum dan bukan merahsiakannya.